KARANGAN MANTAP P.M.R. 1 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Masalah Sosial/Masalah
Disiplin/Keruntuhan Akhlak
Soalan
Contoh:
Masalah disiplin pelajar
semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk
membentuk sahsiah pelajar.Jelaskan punca-punca berlakunya masalah ini.
Karangan Mantap
Masalah
disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk
mematuhi peraturan yang telah
ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan
golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang
mendorong masalah ini berlaku dan
apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?
Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibu bapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibu bapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.
Sementara itu kemunculan media massa juga mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang disaksikan oleh mereka telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah ditonton oleh mereka sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.
Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.
Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.
Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjerumus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang dihabiskan oleh mereka untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.
Intihanya, kemelut disiplin ini sudah
lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari
kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal sebagai cadangan
sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 2 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Peranan Ibu
Bapa
Soalan
Contoh:
“Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang
akan mencorakkannya”. Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.
Karangan Mantap
Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa.
Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila masuk ke menara gading, anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka.
Lain daripada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan terdidik untuk mendisiplinkan diri kerana datang daripada keluarga yang baik dan yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Saya yakin bahawa anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.
Ilmu agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak.
Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 3 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Dasar 1
Murid 1 Sukan
Soalan
Contoh:
Dasar 1 Murid 1 Sukan telah mewajibkan setiap murid
menyertai sekurang-kurangnya 1 aktiviti sukan. Terangkan kebaikan Dasar 1 Murid
1 Sukan.
Karangan Mantap
Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai
sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong
pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan
insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru
dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan
hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat
pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi
kepentingan bersama.
Dasar 1
Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang
menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju
dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang
bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan
secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai
murni dalam kalangan murid-murid di sekolah.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan
murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat
dan cergas. Kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan
dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya,
bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan atau obesiti semakin
meningkat saban tahun. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1
Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat
Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.
Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam
kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan
Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Indikator terbaik ke arah
itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting
dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu
untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Sudah terang
lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia.
Konklusinya, Dasar 1
Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita.
Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk
menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan
dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah
melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan
objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap
samba lewa, bak kata pepatah, ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’.
‘MAJULAH SUKAN UNTUK
NEGARA’
KARANGAN MANTAP P.M.R. 4 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Rumah
Terbuka Rakyat 1 Malaysia (Gagasan 1 Malaysia)
Soalan
Contoh:
Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda
telah mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia. Huraikan kebaikan dan keburukan rumah
terbuka itu.
Karangan Mantap
Kebelakangan
ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan
rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini
memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan
adanya rumah terbuka, mudahlah
seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan
kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan.
Amalan rumah
terbuka akan mengeratkan
perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita seperti kata pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat’. Semasa menghadiri rumah terbuka
tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain.
Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling
memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara
tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan
pepatah Melayu, iaitu ‘tak kenal maka tak cinta’.
Semasa menghadiri
rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu
bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai
contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari
Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya.
Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha
untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat
dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain
kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga
kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu
yang hadir yang tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan
aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata
tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir
dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya.
Keburukan
lain akibat
penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan
tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain
yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut semasa mengambil makanan atau bersikap tamak
dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan
makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang
berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu
menyebabkan pembaziran berlaku sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak
mendapat makanan langsung.
Oleh hal
yang demikian konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua
pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika
difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak
difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan
keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk
menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, rumah siap pahat berbunyi apabila
menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah
memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang
dicita-citakan akan dapat dicapai.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 5 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Permainan
Tradisional
Soalan
Contoh:
Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman
ini. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
mempertahan permainan-permainan tradisional?
Karangan Mantap
Menurut
Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk kepada permainan budaya yang sudah
diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti
dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dan menjadi permainan
tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin
lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang
terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran permainan tradisional ini turut
diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya
yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang
tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, pelbagai tindakan yang efektif perlu
dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat
kita.
Langkah awal
yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan harus menyediakan lebih banyak tempat atau
gelanggang untuk
memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi
peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan
ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran
yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan
gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baharu kepada
kesinambungan permainan warisan budaya ini.
Berkaitan dengan
pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut
menyediakan
jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini
memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu
dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini
memastikan berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan yang semakin
dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut.
Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih
yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.
Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan
tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini
memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisional sejak
muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang
dipupuk sejak awal ini mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang
pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib
menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai
oleh pelajar.
Malah,
permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa.
Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan
permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan
dijelmakan dalam bentuk masyarakat yang cuba mengekalkan dan memainkan
permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang
sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baharu pada permainan ini
untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.
Konklusinya, permainan tradisional
boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan
sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai
keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini.
Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan tradisional ini semakin dilupakan.
Peribahasa ‘tepuk dada
tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika
kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 6 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Penjagaan
Kesihatan / Gaya Hidup Sihat
Soalan
Contoh:
Kesihatan sangat penting untuk menjamin kehidupan yang
ceria.Huraikan langah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjaga dan
meningkatkan tahap kesihatan kita.
Karangan Mantap
Kesihatan amat
penting dalam menjamin keceriaan hidup setiap individu. Kesihatan merujuk satu
keadaan tubuh badan yang tidak mengalami sebarang masalah seperti ada penyakit
kencing manis dan mudah diserang penyakit berjangkit lain. ada pelbagai langkah
yang boeh diamalkan oleh seseorang untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.
Aspek pemakanan amat
penting dalam menjamin kesihatan yang baik. Seseorang harus mengamalkan
pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupannya. Diet yang seimbang
memastikan tubuh badan seseorang memilikii semua zat-zat yang diperlukan oleh
seseorang itu. Jadi, pemakanan yang sebegini memberikan tahap kesihatan yang
baik.
Selain tu, seeseorang
harus mengamalkan aktiviti senaman yang tetap. Tindakan melakukan senaman dua
atau tiga kali seminggu menyebabkan tubuh badan seseorang berfungsi dengan baik
kerana semua toksik telah dikeuarkan menerusi peluh. Rasa tekanan atau stres
turut berupaya dihilangkan menerus senaman yang dilakuan itu. Oleh itu, untuk
memperoleh kesihatan yang baik kita harus melakukan senaman yang konsisten.
Seseorang itu harus
memiliki waktu tidur yang cukup terutama apabila umur mereka semakin meningkat.
Tidur yang cukup ini memastikan badan seseorang menerima rehat yang secukupnya
selepas penat bekerja terutama di pejabat. Keadaan ini turut memberikan
seseorang itu tenaga untuk meneruskan aktivitinya pada esok hari. Maka, waktu
tidur yang secukupnya memberi ruang kepada seseorang itu untuk terus memiliki
kesihatan yang baik.
Malahan, pemeriksaan
kesihatan yang dibuat sepanjang tahun boleh memberi satu perspektif yang baik
tentang tahap kesihatan seseorang itu. Pemeriksaan yang kerap ini menyebabkan
seseorang itu mengetahui keadaan kesihatan badan mereka dan melakukan beberapa
perubahan untuk memastikan mereka dalam keadaan yang seimbang. Sesungguhnya,
pemeriksaan kesihatan yang kerap akan memastikan kesihatan seseorang itu dalam
keadaan baik.
Kesimpulannya,
kesihatan amat penting dalam kehidupan seseorang terutama mereka yang sudah
berumur. Penjagaan kesihatan yang berkala ini menjamin kebahagiaan kehidupan
seseorang. Walaupun seseorang itu berharta tetapi tida memiliki kesihatan yang
baik, kehidupannya sudah pasti akan sengsara.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 7 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Masalah Obesiti
(Kegemukan)
Soalan
Contoh:
Kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini
dikatakan semakin meningkat. Keadaan ini berkaitan dengan tahap kesihatan
rakyat yang semakin diabaikan. Jadi, apakah cara-cara yang mampu dilakukan oleh
kita sebagai rakyat biasa untuk menjaga kesihatan.
Karangan Mantap
Kesihatan
dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan
yang dijalani oleh seseoorang itu. Semakin baik kesihatan seseorang itu semakin mudahlah
mereka mengharungi kehidupan mereka. Malah, ada kajian yang mengaitkan
kesihatan yang baik memastikan produktiviti seseorang itu meningkat. Ada banyak
kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan seseorang itu bertambah
baik.
Kesihatan
ditentukan oleh pemakanan seseorang. Itulah antara kata-kata hikmah yang sering
kita dengar mengenai penjagaan kesihatan. Pengambilan makanan atau diet yang
seimbang memastikan badan menerima khasiat yang diperlukannya. Diet yang betul sepanjang kehidupan
seseorang itu menyebabkan kesihatannya terjamin. Cuma, kita agak sukar untuk mengamalkan
perkara yang baik ini untuk jangka masa panjang kerana tahap kesihatan itu
sukar diperoleh dalam masa yang pantas dan agak berbeza mengikut pandangan
seseorang.
Bukan
sahaja diet penting tetapi penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan
penyakit. Diri
seseorang haruslah bersih dan kawasan tempat tinggal juga dipantau tahap
kebersihannya. Malah, kawasan sekeliling turut diberi perhatian untuk memastikan semuanya dalam keadaan bersih
daripada penyakit berjangkit. Semua tindakan ini akan memastikan seseorang itu
tidak diserang penyakit berjangkit seperti taun.
Selain
itu, aktiviti luar harus dilakukan. Senaman ringan dua atau tiga kali seminggu sudah mampu memberikan tahap
kesihatan yang baik. Imunisasi seseorang turut meningkat melalui aktiviti senaman ini.
Peluh yang keluar membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam
masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami
oleh seseorang itu. Stres sering dikaitkan dengan kadar kematian yang semakin
meningkat dalam kalangan masyarakat moden terutama di negara ini.
Kesimpulannya,
menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua
orang. Penjagaan kesihatan zaman ini juga dianggap menelan belanja yang banyak
kerana kesihatan telah dijadikan sebagai satu kegiatan ekonomi. Seseorang itu
perlulah bijak dalam menangani isu ini supaya tidak tertipu kerana tidak ada
harta yang mampu membeli kesihatan yang baik. Harta yang penting dalam diri
manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa
kesihatan, nyawa kita akan melayang.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 8 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Keracunan
Makanan
Soalan
Contoh:
Kejadian keracunan makanan di sekolah sering berlaku
sejak kebelakangan ini. Berikan pendapat anda tentang punca-punca keracunan
makanan di sekolah.
Kebelakangan ini
kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah sering menjadi tajuk utama dalam
akhbar-akhbar tempatan.Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah
mengapakah perkara ini semakin kerap berlaku? Apakah tiada tindakan yang
diambil untuk menanganinya dari terus berlaku? Semua persoalan ini tentunya
sentiasa bermain-main di fikiran kita.Apakah punca yang menyebabkan kejadian
ini terus berlaku?
Antara punca utama
keracunan makanan di sekolah adalah disebabkan sikap pengusaha kantin yang
mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Kebanyakan daripada
mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan kurang mengambil berat
tentang kualiti makanan yang dijual. Sehubungan dengan ini, mereka tidak akan
mempedulikan sama ada makanan tersebut boleh dijual atau tidak kepada para
pelajar. Sebagai contoh mereka tidak mencuci dengan sempurna bahan mentah yang
digunakan sebelum memasak sesuatu hidangan. Perbuatan mereka ini boleh
diibaratkan umpama anjing makan muntahnya.Sikap ini jika dibiarkan berterusan
pastinya akan membawa kepada keracunan makanan.
Selain itu, terdapat
pengusaha yang tidak menjaga persekitaran kawasan kantin. Kawasan di sekeliling
kantin dan dapur dibiarkan kotor tanpa penjagaan yang sewajarnya. Dengan ini,
kawasan tersebut akan dicemari dengan pelbagai jenis haiwan dan serangga yang
membawa pelbagai jenis kuman. Sebagai contoh, serangga seperti lipas, semut,
cicak, tikus dan sebagainya akan berkeliaran dan kadangkala masuk ke dalam
makanan. Sewajarnya sikap ini dijauhi bagi mengelakkan makanan daripada
tercemar.
Di samping itu, sikap
para pelajar yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan diri juga merupakan
punca berlakunya keracunan makanan di sekolah. Kebanyakan pelajar memandang
remeh kepada soal kebersihan diri dan kualiti sesuatu makanan.Sehubungan dengan
itu, mereka akan mengabaikan aspek kebersihan dan membeli makanan yang sudah
tercemar. Sebagai contoh, mereka tidak mencuci tangan dengan sabun sewaktu
hendak menjamah sesuatu makanan. Selagi pelajar tidak mengambil berat soal
kebersihan diri, pastinya masalah ini akan terus berlarutan.
Konklusinya, pelbagai
punca telah dikenalpasti menyebabkan berlakunya keracunan makanan di sekolah.
Masalah ini boleh diatasi dengan menamatkan kontrak pengusaha yang terlibat
dengan masalah ini. Dengan ini, akan dapat memberi pengajaran kepada pengusaha
kantin yang lain supaya sentiasa peka dalam soal kebersihan di kantin
sekolah.Jelaslah bahawa masalah ini akan dapat diatasi sekiranya punca-punca
kepada permasalahan ini dapat ditangani secara bersepadu.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 9 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Semangat
Kebangsaan
Soalan
Contoh:
Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin
menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat
kita. Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini
kepada remaja.
Karangan Mantap
Semangat
kebangsaan merujuk kepada sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang
mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini
semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak
kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak
tindakan yang mampu dilaksanakan
untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang
positif.
Tindakan
yang pertama ialah subjek Sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran Sejarah penting ditekankan
kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja.
Pemahaman tentang Sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki
sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek Sejarah
ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya
remaja.
Selain
itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika Hari Kebangsaan. Penonjolan ini
boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri
pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan
hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan
pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu
melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya,
langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu
meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan
oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum
ini.
Malah,
kerajaan melalui Kementerian Pelajaran boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei,
dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat
memastikan remaja menyelami dan
memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih
mendalam lagi. Pertandingan yang
berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara
yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan
sastera ini memberi satu dimensi baharu kepada remaja untuk mencintai negara
mereka.
Kerajaan
boleh menonjolkan
kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan
kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat
kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan
penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini
selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu.
Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang
boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang
negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi
yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan
kejayaan yang lebih baik lagi.
Kesimpulannya,
pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan
negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan
yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka
menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya
kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang
mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 10 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Pencemaran
Alam Global
Soalan
Contoh:
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang
diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang
ketara kepada manusia terutama di Malaysia.Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah
mengatasinya.
Karangan Mantap
Pencemaran
alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat.
Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan
cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan
masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap
manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul.
Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Bencana
alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di
Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini.
Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan
masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini
menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam
perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.
Tambahan
pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan
masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang
merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat.
Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan
rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan
penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam
kehidupan kita.
Lantaran
itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang
sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang
sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar
tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang
memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan
tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga
generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah
sejak kecil.
Imej
negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa.
Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam
kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik
kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan
kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara
tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin
langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan
akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil
tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan
silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita
terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang
pencemaran alam.
Kesimpulannya, semua
pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak
kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi,
alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan
masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat.
Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam
ini.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 11 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Kesan Penggunaan
Internet / Aplikasi Jaringan Sosial
Soalan
Contoh:
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai dalam
kalangan kita mencari maklumat melalui internet. Jelaskan kelebihan yang
diperoleh apabila kita menggunakan internet.
Karangan Mantap
Mayapada, manusia tidak dapat
dipisahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi komunikasi yang canggih dalam
kehidupan seharian mereka. Kemudahan internet merupakan salah satu ciptaan
manusia yang telah menjadi suatu kemestian dalam urusan kehidupan kini. Internet
telah digunakan oleh jutaan manusia tanpa mengira faktor jantina dan juga usia.
Pelbagai faedah yang dapat diperoleh sekiranya kita tahu menggunakan aplikasi
ini dengan sebaik-baiknya.
Antara
faedah apabila kita menggunakan internet ialah kita mudah mendapat informasi melalui laman-laman
sesawang yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum adanya internet
kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu maklumat yang
hanya terdapat dalam buku-buku atau media cetak yang lain. Oleh itu, kita boleh
mendapatkan sebarang maklumat dengan cepat tanpa perlu menghabiskan terlalu
banyak masa untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan maklumat
mengenai sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di bahagian kotak
pencarian dan maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya, internet
memudahkan kita mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya hujung jari
kita.
Selain
itu, internet juga memudahkan
kita berhubung dengan orang lain sama ada melalui e-mel ataupun ruang sembang.
Sebelum ini kita hanya bergantung kepada surat yang mengambil masa yang agak
lama untuk sampai kepada penerimanya ataupun telefon untuk berhubung dengan
orang yang jauh daripada kita. Dengan internet, kita dapat berutus surat secara
elektronik dan bersembang dalam alam maya dengan suasana yang lebih kondusif
dan pantas. Misalnya, terdapat pelbagai penyedia platform untuk kita
mengutus surat dan bersembang seperti “Yahoo Messenger” dan “Gmail”. Internet
sememangnya telah sedikit sebanyak telah mendominasi penghantaran surat
pada hari ini.
Seterusnya,internet
juga memudahkan kita untuk
mendapatkan hiburan, sama ada lagu ataupun filem dari dalam dan luar negara.
Sebelum ini kita hanya bergantung kepada media elektronik seperti televisyen
dan radio untuk mendapatkan hiburan. Dengan ini, kita boleh mendengar dan
menonton secara ‘online’ sesuatu program hiburan yang kita inginkan. Tamsilnya,
terdapat pelbagai perisian seperti ‘Ares’ yang membolehkan kita memuat turun
sesuatu bahan hiburan dengan hanya menaip di ruangan pencarian yang disediakan.
Hal ini jelas menunjukkan betapa internet telah memudahkan kita semua untuk
mendapatkan pelbagai bentuk jenis hiburan dalam sekelip mata sahaja.
Sebagai
kesimpulan, jelaslah bahawa terdapat banyak faedah yang kita peroleh sekiranya
menggunakan kemudahan ini. Dengan demikian, kita hendaklah menguasai teknologi
ini dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita menguasai teknologi ini, sudah tentu kita
tidak akan ketinggalan dalam menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini. Jelaslah
bahawa internet telah membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita pada masa
ini.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 12 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Mutu
Pengangkutan Awam
Soalan
Contoh:
Sistem pengangkutan awam negara terus menerima kritikan
demi kritikan. Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di
negara ini.
Rangkaian
pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas,
teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak
usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya
masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan
awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan
agak lama ini.
Sudah pasti dilema
utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita
ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh
masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem
pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam
terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan
pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus
diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun
menggunakan LRT.
Selain itu, kemelut
pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak
cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh
diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk
merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah
penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana
penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja
menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga
kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam
mereka.
Kalau anda sering
menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk
menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara
bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu
kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam
yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti
keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket
yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini
menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan
awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu
teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat
mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh
meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak
prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang
bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja
pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra
pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya,
masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal
diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan
untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin
gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam
diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media
massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam
kemelut ini.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 13 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Penyakit
Berjangkit
Soalan
Contoh:
Dunia sekarang dilanda dengan pelbagai jenis penyakit
berjangkit. Bincangkan cara-cara untuk menghalangnya daripada terus merebak
dalam kalangan masyrakat di negara kita ini.
Baru-baru ini,
sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh
membawa maut. Malah, penyakit berjangkit boleh merebak melalui sistem
pernafasan seperti air liur, bersin dan lain-lain.Sebagai contoh, antara
penyakit berjangkit yang ditakuti ialah H1N1, SARS,JE dan sebagainya.Justeru,
pelbagai alternatif perlu diambil bagi mencegah penyakit berjangkit ini
daripada terus merebak dalam kalangan rakyat di negara ini.
Antara langkah bagi
menangani penyakit berjangkit ini daripada bertambah kronik adalah dengan
memastikan kebersihan diri kita sentiasa terjaga. Hal ini berlaku demikian
kerana sesetengah wabak penyakit dapat berjangkit secara tidak langsung iaitu
melalui sentuhan, memegang atau menggunakan sebarang peralatan yang pernah
digunakan oleh individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut. Dengan ini,
kita akan terhindar daripada dijangkiti oleh penyakit berbahaya
tersebut.Sebagai contoh, kita perlulah menggunakan sabun semasa membasuh tangan
kita sebelum makan.Oleh yang demikian, langkah ini perlu diamalkan oleh semua
orang bagi menghindari serta melindungi diri mereka daripada dijangkiti
sebarang penyakit berjangkit.
Selain itu, kita juga
perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam sekiranya tiada urusan
penting. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah penyakit berjangkit seperti
H1N1(Selesema Babi) boleh merebak melalui pernafasan. Sehubungan dengan itu,
risiko untuk seseorang itu dijangkiti wabak berjangkit adalah minimum. Sebagai
contoh, tempat-tempat yang perlu dielakkan ialah pusat membeli belah,
taman-taman permainan dan sebagainya. Justeru, menjauhi tempat-tempat awam
merupakan pilihan yang tepat bagi mengelakkan penyakit berjangkit daripada
mengancam nyawa kita.
Seterusnya, kerajaan
juga boleh menangani musibah ini dengan menyekat kemasukan para wisatawan yang
disyaki dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini kerana para wisatawan dari
negara luar yang datang ke negara ini boleh menjadi faktor utama yang
menyebarkan virus penyakit berjangkit ini. Justeru, penyebaran penyakit ini
akan dapat serba sedikit dikurangkan. Tamsilnya, pihak berkuasa yang menjaga
pintu masuk lapangan terbang kita hendaklah mengetatkan lagi pemeriksaan
kesihatan ke atas para wisatawan ini. Intihanya, kerjasama daripada mereka
dapat membantu mengurangkan penyakit ini daripada terus menular ke negara kita.
Konklusinya, dapatlah
dirumuskan bahawa pelbagai langkah perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat
bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini. Selain itu,kita hendaklah
mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup yang sihat akan melahirkan tubuh
yang sihat yang mampu melawan penyakit berjangkit.Sesungguhnya, mencegah itu
lebih baik daripada merawat dan janganlah kita menyesal apabila kita telah
disahkan menghidapi penyakit berjangkit disebabkan kecuaian kita kerana ‘Sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 14 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Amalan Berjimat-cermat
Soalan
Contoh:
Kebanyakan masyarakat Malaysia bersikap boros ketika
berbelanja. Sikap harus ditangani dan amalan berjimat-cermat perlu dipupuk.
Huraikan langkah-langkah menanamkan amalan berjimat-cermat dalam kalangan
masyarakat Malaysia hari ini.
Karangan Mantap
Amalan
berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan
sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan
yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran
dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan
diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil
untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.
Antara
langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat
Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanamkan sikap rajin
menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung
dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah
contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya
perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.
Ibu
bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari
kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu
menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan
mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh
membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan
Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat
menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan
untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.
Masyarakat
juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian
Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi
memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat
hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya
mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan
mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia
mempunyai masa depan yang terjamin.
Sebelum
membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu.
Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini
wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat
hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika
berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah
beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah
kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat
sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
Kesimpulannya,
amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan
progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk
jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah
untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai
pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya
masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 15 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Isu P.M.R. - Bangunan
Bersejarah
Soalan
Contoh:
Malaysia kaya
dengan bangunan dan monumen bersejarah. Kerajaan telah mengambil langkah bijak
dengan menjadikan binaan lama tersebut sebagai salah satu daripada Warisan
Kebangsaan. Bincangkan kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan
bersejarah di negara kita.
Karangan Mantap
Pembangunan di negara
kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini
berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian,
pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang
berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama
ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu
tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah
menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian
seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada
tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu
mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
Satu daripada
kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah
dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah
yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat
bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa
penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan
yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis
masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping
itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi
yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat
membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang
realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai
contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad
ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja
Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis,
Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas
kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan
juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British
di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan
bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
Pendapat sesetengah
pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak
berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan
dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat
patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang
hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di
sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa
yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi
kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya,
Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah
dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan
iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan
kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara
kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain
bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil
mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan
bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Bukan itu sahaja,
dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik
pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk
melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan
pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang
indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya
dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah
suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena
ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di
England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York,
Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian
besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat
menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber
pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan
bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain
menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam
muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu,
bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri
pelancongan negara.
Di samping itu,
bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan
di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat
dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai
contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar
Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala
Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam
era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah
dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran
Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat
British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.
Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di
persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse
dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu
Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan
bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu,
bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
Secara tuntas, bangunan
bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara
terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan
monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari
satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah,
generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah
negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap
sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak
kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang
perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau
memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan
undang-undang.