KARANGAN MANTAP
P.M.R. 1- FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M.
Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Langkah
Mengatasi Masalah Sosial
Masyarakat
mempunyai peranan penting menangani pelbagai gejala negatif dalam kalangan
masyarakat. Berikan pendapat anda.
Marcapada,
pelbagai gejala negatif kerap terjadi dalam kalangan masyarakat di negara kita.
Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah perkara ini
semakin kerap terjadi? Apakah faktor yang menyebabkan masyarakat negara kita
yang dahulunya terkenal dengan nilai berbudi bahasa dan bersopan santun berubah
sebaliknya? Segala persoalan yang timbul dalam benak fikiran kita seolah-olah
tiada jawapannya. Apakah langkah yang perlu diambil oleh masyarakat bagi
menangani gejala negatif yang berlaku dalam kelompok mereka ini?
Antara langkah untuk mengatasi pelbagai gejala negatif dalam masyarakat pada hari ini adalah dengan melalui keprihatinan masyarakat setempat terhadap perkara ini.Hal ini berlaku demikian kerana sikap sebegini akan menyebabkan mereka yang mahu melakukan gejala negatif ini akan berasa takut untuk melakukannya di kawasan tempat tinggal mereka.Lantaran itu, gejala-gejala negatif seperti berlumba motor secara haram, vandalisme, melepak dan sebagainya akan dapat dikawal.Tamsilnya, program Rukun Tetangga yang dilaksanakan oleh komuniti setempat akan dapat mengurangkan gejala ini daripada terus berlaku. Oleh itu, sikap cakna masyarakat setempat amat penting dalam menangani isu ini.
Di samping itu, masyarakat setempat boleh mengadakan program bermanfaat khusus untuk golongan remaja dan belia di kawasan tempat tinggal mereka. Hal ini berlaku demikian kerana dengan mengadakan aktiviti seperti ini akan dapat mengisi masa senggang yang ada dengan kegiatan yang berfaedah untuk mereka.Dengan ini, mereka akan tiada masa untuk membuat perkara-perkara yang negatif. Tamsilnya, aktiviti seperti pertandingan ‘futsal’ pada hujung minggu akan dapat memenuhi masa senggang mereka di samping menyihatkan tubuh badan. Lantaran itu, terbuktilah bahawa aktiviti-aktiviti berfaedah akan dapat mengalihkan perhatian golongan ini daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat.
Seterusnya, penganjuran kempen kesedaran secara bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan juga boleh membantu menangani isu ini. Hal ini berlaku demikian kerana golongan yang melakukan gejala negatif ini mungkin tidak menyedari kesan negatif atas perlakuan mereka selama ini.Sehubungan dengan ini, mereka mungkin akan menyesali salah laku masa lalu mereka. Tamsilnya, pihak berkuasa boleh memberi penerangan tentang hukuman-hukuman yang bakal diterima oleh mereka yang melakukan perbuatan yang negatif ini.Benarlah bahawa melalui kempen yang bersepadu pelbagai gejala negatif akan dapat dikurangkan dalam kalangan masyarakat.
Konklusinya, jelaslah bahawa pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat dapat diatasi sekiranya langkah dan kaedah yang betul dilaksanakan. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membanteras gejala yang tidak sihat ini. Dengan ini, segala masalah yang dihadapi oleh komuniti setempat akan dapat diatasi dengan cara yang lebih berkesan. Sesungguhnya benarlah kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
KARANGAN MANTAP
P.M.R. 2 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M.
Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Peranan
Ibu Bapa
“Anak
ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya”.
Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.
Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.
Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa.
Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila masuk ke menara gading, anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka.
Lain daripada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan terdidik untuk mendisiplinkan diri kerana datang daripada keluarga yang baik dan yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Saya yakin bahawa anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.
Ilmu agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak.
Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.
KARANGAN MANTAP
P.M.R. 3 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M.
Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Pencemaran
Alam Sekitar
Alam
sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Bincangkan langkah-langkah
yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
Belakangan
ini, pembangunan tanpa limitasi kini merupakan perubahan kian pesat berlaku di
negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor
perindustrian telah dikecap hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap
manusia yang lepas tangan ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar
terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita
sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Justeru, alam sekitar yang
bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah yang proaktif perlu
diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.
Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini berlaku demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Sebagai contoh, penggunaan racun serangga dan pendingin hawa membawa kesan yang paling ketara dan serius kepada alam sekitar perlulah dihadkan penggunaannya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahkan oleh Tuhan.
Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Sehubungan dengan ini, pelepasan asap kilang dan pembuang sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka dapatlah dikawal. Tamsilnya, denda yang maksimum atau hukuman sebatan patut dikenakan ke atas pekilang yang tegar supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Justeru,sikap pengilang yang bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing akan dapat dibanteras dengan lebih efektif.
Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Dengan ini, kawasan persekitaran tidak akan dibanjiri dengan bahan buangan yang akan mencemarkan alam sekitar.Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu. Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.
Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan sewenang-wenangnya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.
KARANGAN MANTAP
P.M.R. 4 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M.
Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Kebaikan
Bergotong-royong
Dalam
meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik
marcapada ini, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan
ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini
dianggap tak basah dek hujan, tak
lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan
bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya
generasi alaf baharu ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah
keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini
melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak mengenali
maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan
muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu
tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong
dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.
Amalan
bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal
merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai
insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh
orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotong–royong kita dapat memperindah
sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam.
Fenomena ini persis peribahasa tak
kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa
bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita
secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni
bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat
menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan
mengaktifkan diri dalam amalan bergotong–royong, kita dapat lebih memahami
kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang
bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu
kita teguh bercerai kita roboh .Kita harus mengapresiasi amalan ini
sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Selain
itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti
kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada
menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan
menjauhi penyakit. Kata Tun Dr. Mahathir, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Secara peribadi, saya
berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil
kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini
sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh
pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui
betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang
ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal
yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu
generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan
keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal.
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat
penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang
dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara
kaum semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan
bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi
dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum
masing- masing kerana masuk ke kandang
kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan
bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan
menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing.
Intihanya
, amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan
semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara
tidak langsung. Bak kata pepatah, ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan
dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab
yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum.
Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian.
Bak kata pepatah, yang baik dijadikan
teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
KARANGAN MANTAP
P.M.R. 5 - FOKUS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2012
Tutor B.M.
Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Kebaikan 1
Murid 1 Sukan
Dasar
1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya
satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid
akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah
sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk
membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat
sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk
Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting
dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan
untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus
dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi
Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang
demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu
landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu
padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong
semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara
ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya
membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid
dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita
amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan
berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung
dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan
murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke
arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis
sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak
mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun
4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan , Tingkatan 1 hingga Tingkatan
6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun
3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini
demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna
kepada bangsa dan negara melalui sukan.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat
memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat
yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Aktiviti sukan berupaya
meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semulajadi murid
dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai
rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk
dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap
masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat
merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai
penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat
Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di
negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan
Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk
masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.
Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya
memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.
Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat
antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di
dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat
majmuk selama 54 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak
harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia
yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan.
Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu
aktiviti sukan. Semua ahli suka mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa
mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan
dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka
akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh,
Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan
rakyat Malaysia.
Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak
kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus
memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti
sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1
Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1
Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan
tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah,
“sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk
melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan
menjadi realiti. ‘’MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’’.