Catatan:
Beberapa Karangan Mantap Disediakan untuk Rujukan Pantas Para Pelajar Setia Pusat Tuisyen Kavinaa dan Sarshidaa. Fokuskan Tajuk-tajuk yang Ditanda ***. Namun, Fokuskan Juga Semua Tajuk telah Dibincang dalam Sidang Tutorial dan Tajuk-tajuk dalam Buku Kecil. Semoga Yang Mahakuasa Sentiasa Bersama Anda.
*** ISU
P.M.R. - Masalah Sosial/Masalah Disiplin/Keruntuhan Akhlak
KARANGAN MANTAP P.M.R. 1 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:
Gejala
gengsterisme semakin menjadi-jadi pada masa ini. Keadaan ini amat membimbangkan
masyarakat keseluruhannya. Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk
membendung gejala ini daripada terus menular.
Sejak kebelakangan ini, gejala gangsterisme
semakin menjadi-jadi di negara kita. Perkara ini tidak akan ada penamatnya jika
tidak dipandang berat oleh semua pihak. Gejala ini dapat dilihat dengan jelas apabila
berlakunya peningkatan mengenai kes ini dalam dada-dada akhbar dan perkara
sebegini telah membimbangkan masyarakat kita. Tegasnya, pelbagai langkah
yang proaktif dan konkrit sewajarnya diambil bagi menangani masalah ini.
Antara
langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah memantau dan
mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak.
Hal ini demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan
kerjaya dan wang berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah
bak kata pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Lantaran
itu, anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
Selagi ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi itulah
perkara ini tidak boleh diselesaikan.
Selain
itu, setiap individu
mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana remaja pada
masa ini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya
hanya untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus
dalam melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut
kumpulan-kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih
berleluasa maka kes-kes seperti ini tidak akan berkurangan.
Di
samping itu, pihak
kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung
masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah
pelajar di sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka
membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding
menyertai program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar
yang bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini.
Sebagai contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar
tersebut dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan
adanya cara sebegini, remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti
program tersebut.
Konklusinya,
kita seharusnya mengambil langkah-langkah di atas bagi mengurangkan berlakunya
gejala gangsterisme ini. Oleh itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap
setiap aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil
berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan
tanggungjawab semua pihak sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala
gangsterisme bak kata peribahasa ‘tepuk sebelah tangan tidak berbunyi’.
*** ISU
P.M.R. - Keibubapaan (Peranan Ibu Bapa)
KARANGAN MANTAP P.M.R. 2 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:
Benteng utama untuk menghadapi pelbagai gejala sosial dewasa ini terletak pada pengukuhan institusi keluarga. Berikan komen anda berkaitan dengan pandangan ini.
Benteng utama untuk menghadapi pelbagai gejala sosial dewasa ini terletak pada pengukuhan institusi keluarga. Berikan komen anda berkaitan dengan pandangan ini.
Institusi keluarga biasanya
terbentuk daripada kelompok yang paling asas, iaitu ayah, ibu, dan
anak-anak. Sementara itu, gejala sosial merujuk kepada perkara-perkara
negatif yang dilakukan oleh sesiapa saja. Gejala sosial yang melanda masyarakat
kita hari ini berkait rapat dengan nilai kehidupan dalam institusi
keluarga. Banyak pihak yang berpendapat bahawa kanak-kanak yang dididik
dengan baik dapat meryerapkan nilai-nilai murni sebagai persiapan untuk
menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Salah satu usaha pengukuhan institusi keluarga terletak pada usaha pemupukan semangat yang kental. Melalui cara ini, benteng bagi menangkis sebarang masalah sosial yang melanda masyarakat kita dewasa ini akan wujud. Antara masalah sosial itu termasuklah masalah penyalahgunaan dadah, perlakuan sumbang mahram, kes pembuangan bayi, jenayah perogolan yang membabitkan pelajar, dan gejala laku musnah. Oleh itu, setiap anggota keluarga perlulah berganding bahu untuk memastikan bahawa semangat yang kental terjelma dalam kalangan anggota keluarga dan akhirnya dapat mengelak daripada gejala-gejala sosial.
Selain itu, melalui usaha
pengukuhan institusi keluarga, ibu bapa perlu diberi pendedahan tentang
kemahiran keibubapaan. Hal ini demikian kerana kemahiran keibubapaan bagi
sesesetengah ibu bapa amat terhad. Antara kemahiran yang dapat diterapkan
termasuklah komunikasi efektif, mesra keluarga, nilai kekeluargaan, toleransi,
keibubapaan cemerlang, dan kasih sayang. Penerapan ciri-ciri tersebut
dalam kehidupan alam rumah tangga dapat membentuk keluarga bahagia. Oleh yang demikian, dengan sendirinya anak-anak remaja tidak akan terdorong untuk keluar
rumah mencari keseronokan yang berkemungkibnan mendedahkan gejala-gejala
negatif kepada mereka.
Selanjutnya, pemupukan nilai-nilai murni mampu mengukuhkan institusi keluarga. Dengan berlandaskan anggapan bahawa daya kekuatan sesebuah keluarga itu bermula dari rumah, yang penting kini ialah usaha mencurahkan segala tenaga kita untuk mengukuhkan institusi tersebut. Dalam konteks ini, ibu bapa yang berjaya ialah ibu bapa yang dapat menerapkan nilai-nilai murni sosial dan kekeluargaan di kalangan anak mereka. Lantaran itu, saranan agar ibu bapa memberikan perhatian yang sewajarnya untuk mengawasi segala tindak-tanduk anak-anak mereka perlu disambut oleh semua ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terperangkap dalam gejala penyalahgunaan dadah dan keruntuhan moral.
Kesimpulannya, masalah sosial perlu ditangani segera. Jika tidak ditangani segera, masalah ini pasti akan menggugat kestabilan masyarakat dan negara. Peranan ibu bapa dan anggota keluarga amat penting untuk melahirkan anak yang mampu menangani segala dugaan dan cabaran ini. Tegasnya, pengukuhan institusi keluarga tetap menjadi benteng utama demi menghadapi pelbagai masalah sosial dewasa ini.
*** ISU
P.M.R. - Alam Sekitar
KARANGAN MANTAP P.M.R. 3 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang
diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang
ketara kepada manusia terutama di Malaysia.
Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.
Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.
Pencemaran
alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat.
Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan
cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan
masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap
manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul.
Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?
Bencana
alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di
Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini.
Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan
masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini
menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam
perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.
Tambahan
pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan
masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang
merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat.
Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan
rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan
penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam
kehidupan kita.
Lantaran
itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang
sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang
sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar
tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang
memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan
tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga
generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah
sejak kecil.
Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.
Mungkin
langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan
akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil
tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan
silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita
terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang
pencemaran alam.
Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.
Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.
ISU
P.M.R. - Gaya Hidup Sihat
KARANGAN MANTAP P.M.R. 4 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:
Gaya hidup sihat satu amalan yang murni.
Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.
Gaya hidup sihat satu amalan yang murni.
Nyatakan cara-cara mencapai gaya hidup sebegini.
Gaya
hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa
impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh
kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa
mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu
tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak
tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera.
Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai
matlamat ini.
Tindakan
awal ialah seseorang itu perlu mengamalkan satu diet pemakanan yang seimbang
dalam kehidupannya. Dalam keadaan kehidupan sebenar, ramai yang suka mengambil
satu jenis makanan sahaja seperti hanya memakan daging tanpa mengambil sayur
dalam diet mereka. Ketiadaan diet yang seimbanglah atau hanya menumpukan
pemakanan mereka terhadap satu aspek sahaja yang menyukarkan seseorang untuk mencapai
matlamat gaya hidup yang baik ini. Jelaslah, diet yang seimbang membolehkan
kita semua mencapai satu kehidupan yang ceria kerana semua zat yang diperlukan
oleh badan diperoleh menerusi pemakanan yang baik itu.
Selain
itu, aktiviti senaman yang berkala mampu menjadikan kehidupan yang dijalani
oleh seseorang itu lebih sihat dan menceriakan. Kita boleh menjalankan aktiviti
berjalan atau berlari bersendirian atau melakukan aktiviti bersukan
bersama-sama keluarga atau ketika hujung minggu untuk mendapatkan senaman
sebegini. Aktiviti senaman sudah lama diakui oleh pakar perubatan mampu
menjadikan sistem peredaran darah manusia lebih stabil dan baik serta
menjadikan sistem imunisasi mereka lebih tinggi. Maka, semakin kerap senaman
dilakukan maka semakin tinggilah tahap kesihatan seseorang itu kerana minda
yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas.
Gaya
hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu.
Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang
lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka
bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan
masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan
efektif. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi untuk
memperoleh gaya hidup yang sihat ini.
Pada
masa yang sama sikap atau mentaliti positif penting dimiliki oleh seseorang itu
untuk menangani tekanan kehidupan moden. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya
dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat
kita. Maka, semakin positif minda seseorang itu maka semakin tinggilah gaya
hidup sihat yang mampu dicapainya kelak.
Kesimpulannya, gaya
hidup yang sihat ini boleh diperoleh menerusi semua amalan yang dipaparkan
tadi. Cuma sikap masyarakat yang masih memandang rendah kepentingan gaya hidup
sebeginilah yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan timbul kelak. Kita
semua perlulah memahami bahawa mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 5 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:
Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut.
Aktiviti kokurikulum berperanan untuk melahirkan remaja yang berwawasan dan berdisiplin.Berikan pendapat anda tentang perkara tersebut.
Aktiviti
kokurikulum merujuk aktiviti yang luar darjah yang melibatkan aktviti yang
berpersatuan, lasak dan mungkin kemahiran tertentu. Kegiatan luar darjah ini berupaya
untuk memberikan satu perspektif baharu kepada pelajar dalam menjalani
kehidupan mereka di sekolah dan luar sekolah. Kelebihan kegiatan ini turut
dipaparkan di dalam pelbagai media massa di negara ini yang membuktikan manfaat
menyertainya. Jadi, pembabitan pelajar dalam kegiatan ini memang membawa
pelbagai impak positif dalam kehidupan mereka.
Sebenarnya,
aktiviti kokurikulum memberikan pelajar satu keyakinan diri yang hakiki
menerusi pembabitan mereka dalam setiap aktiviti kokurikulum yang dijalankan
itu. Keyakinan diri ini timbul kerana setiap kali berjaya melaksanakan sesuatu
tugasan itu mereka akan menimba pengalaman yang memberi mereka satu jangkaan
awal apabila melakukan aktiviti lain pula. Sudah pasti perasaan ini memudahkan
mereka untuk menjalani kehidupan selepas sekolah yang lebih mencabar
suasananya. Maka, penglibatan kokurikulum memang memberi manfaat kepada
seseorang pelajar itu.
Selain
itu, pelajar yang melibatkan diri dalam kokurikulum turut memiliki tahap
disiplin diri yang tinggi dalam diri mereka. Pemilikan disiplin yang tinggi ini
terhasil kerana semua aktiviti kokurikulum memerlukan seseorang pelajar itu
mematuhi beberapa peraturan tertentu yang meliputii pakaian seragam, aktiviti,
masa berlatih dan tempoh akhir untuk menyiapkan sesuatu projek itu. Semua
aktiviti ini hanya boleh dilakukan jika seseorang pelajar itu mempunyai
disiplin yang tinggi kerana masa untuk belajar dan beraktivti hanya boleh
diseimbangkan menerusi satu disiplin yang tinggi. Oleh itu, pelajar yang
melibatkan diri mereka secara aktif dalam aktiviti ini akan mempunyai satu
sikap mementingkan disiplin yang tinggi.
Malah,
pembabitan pelajar dalam kokurikulum menghasilkan pelajar yang berhati mulia
dan baik. Rasa hormat kepada ibu bapa, guru dan rakan sebaya terhasil kerana
setiap aktiviti kokurikulum menekankan aspek menghormati orang lain. Kekerapan
melakukan aktivit ini secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai
kesopanan yang jitu dalam diri mereka. Jelaslah, kokurikulum mampu membentuk
pelajar menjadi pelajar yang memiliki ciri-ciri sopan yang tinggi.
Mungkin
satu impak positif kegiatan kokurikulum yang baik ialah aktiviti ini memberikan
pelajar satu sikap bersaing yang tinggi. Sikap persaingan positif ini
menyebabkan pelajar tidak gentar untuk menghadapi setiap cabaran yang
mendatang. Mereka seolah-olah sudah lali untuk mengharungi kehidupan yang penuh
dengan dugaan dalam aspek alam persekolahan atau kehidupan biasa mereka.
Konklusinya,
pelajar yang melibatkan diri mereka dalam aktiviti kokurikulum akan berjaya
memiliki satu personaliti yang berkualiti tinggi. Semua ciri yang diutarakan di
dalam hujah ini akan membantu mereka untuk mengharungi kehidupan yang penuh
dengan dugaan yang besar ini. Cuma pelajar yang sebegini lebih mudah untuk
menyelesaikan masalah mereka itu. Slogan 'pemuda tiang negara, pemudi harapan
bangsa” sesuai menjadi pedoman kita dalam aspek ini.
*** ISU
P.M.R. - Teknologi Maklumat dan Komunikasi
KARANGAN MANTAP P.M.R. 6 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai dalam kalangan kita mencari maklumat melalui internet. Jelaskan kelebihan yang diperoleh apabila kita menggunakan internet.
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai dalam kalangan kita mencari maklumat melalui internet. Jelaskan kelebihan yang diperoleh apabila kita menggunakan internet.
Mayapada, manusia tidak
dapat dipisahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi komunikasi yang canggih
dalam kehidupan seharian mereka. Kemudahan internet merupakan salah satu
ciptaan manusia yang telah menjadi suatu kemestian dalam urusan kehidupan kini.
Internet telah digunakan oleh jutaan manusia tanpa mengira faktor jantina dan
juga usia. Pelbagai faedah yang dapat diperoleh sekiranya kita tahu menggunakan
aplikasi ini dengan sebaik-baiknya.
Antara faedah apabila kita menggunakan internet ialah kita mudah mendapat informasi
melalui laman-laman sesawang yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum
adanya internet kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu
maklumat yang hanya terdapat dalam buku-buku atau media cetak yang lain. Oleh
itu, kita boleh mendapatkan sebarang maklumat dengan cepat tanpa perlu
menghabiskan terlalu banyak masa untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh
mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di
bahagian kotak pencarian dan maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya,
internet memudahkan kita mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya
hujung jari kita.
Selain itu, internet juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain sama ada
melalui e-mel ataupun ruang sembang. Sebelum ini kita hanya bergantung
kepada surat yang mengambil masa yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya
ataupun telefon untuk berhubung dengan orang yang jauh daripada kita. Dengan internet,
kita dapat berutus surat secara elektronik dan bersembang dalam alam maya
dengan suasana yang lebih kondusif dan pantas. Misalnya, terdapat
pelbagai penyedia platform untuk kita mengutus surat dan bersembang
seperti “Yahoo Messenger” dan “Gmail”. Internet sememangnya telah sedikit
sebanyak telah mendominasi penghantaran surat pada hari ini.
Seterusnya,internet juga memudahkan kita untuk mendapatkan hiburan, sama ada lagu
ataupun filem dari dalam dan luar negara. Sebelum ini kita hanya
bergantung kepada media elektronik seperti televisyen dan radio untuk
mendapatkan hiburan. Dengan ini, kita boleh mendengar dan menonton secara
‘online’ sesuatu program hiburan yang kita inginkan. Tamsilnya, terdapat
pelbagai perisian seperti ‘Ares’ yang membolehkan kita memuat turun sesuatu
bahan hiburan dengan hanya menaip di ruangan pencarian yang disediakan. Hal ini
jelas menunjukkan betapa internet telah memudahkan kita semua untuk mendapatkan
pelbagai bentuk jenis hiburan dalam sekelip mata sahaja.
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa terdapat banyak
faedah yang kita peroleh sekiranya menggunakan kemudahan ini. Dengan demikian, kita
hendaklah menguasai teknologi ini dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita
menguasai teknologi ini, sudah tentu kita tidak akan ketinggalan dalam
menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini. Jelaslah bahawa internet
telah membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita pada masa ini.
KARANGAN MANTAP P.M.R. 7 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2013
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN
Soalan Contoh:Telefon bimbit sudah menjadi kemestian kepada setiap golongan masyarakat. Lebih-lebih lagi, golongan remaja pada masa ini yang begitu ghairah menggunakan telefon bimbit. Huraikan pendapat anda tentang kesan negatif penggunaan telefon bimbit kepada mereka.
Kebelakangan ini, isu penggunaan telefon bimbit merupakan
suatu perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Perkara
yang menimbulkan pertanyaan kepada kita adalah mengapakah telefon bimbit yang
sepatutnya digunakan bagi menyenangkan pengguna berubah menjadi suatu barang
yang boleh memberikan unsur negatif kepada mereka? Siapakah yang
bertanggungjawab dalam menangani masalah ini daripada terus berlaku? Segala
persoalan ini kerap kali menerjah minda kita namun penyelesaiannya masih belum
ditemui. Adakah kerjasama yang diberikan oleh beberapa pihak dalam membendung
isu ini seperti ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling masih tidak
mencukupi? Apakah kesan negatif yang akan timbul sekiranya golongan remaja
tersebut begitu ghairah menggunakan telefon bimbit?
Antara kesan negatif yang akan diperoleh sekiranya para
remaja begitu ghairah sewaktu menggunakan telefon bimbit ialah berlakunya
kerosakan bahasa Melayu. Hal ini berlaku demikian kerana golongan remaja ini
gemar meringkaskan perkataan semasa menggunakan Sistem Khidmat Pesanan (SMS)
dengan alasan menjimatkan ruang pesanan. Lantaran itu, golongan remaja yang
sudah terbiasa menggunakan perkataan singkatan ini akan turut menggunakan
perkataan singkatan tersebut sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran(P&P)
di sekolah terutamanya dalam subjek-subjek yang memerlukan mereka menulis atau
mengarang. Tamsilnya, golongan remaja yang begitu ghairah menggunakan telefon
bimbit ini akan terbawa-bawa menggunakan perkataan singkatan tersebut semasa
mengarang essei sekaligus menjadikan bahasa Melayu terjejas. Oleh itu,
keghairahan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan muda-mudi jelas merosakkan
bahasa Melayu sekiranya tidak digunakan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, kesan negatif yang akan diperoleh jika para
remaja begitu ghairah sewaktu meggunakan telefon bimbit ialah mereka akan
kurang memberi tumpuan sewaktu menelaah pelajaran di sekolah dan hilang minat
untuk mengulang kaji pelajaran di rumah. Hal ini berlaku bemikian kerana mereka
terlalu taksub menikmati kecanggihan telefon bimbit sehingga hilang fokus untuk
belajar. Lantaran itu, prestasi akademik remaja tersebut akan merosot dan
keinginan mereka untuk terus belajar akan mula terhakis.
Tamsilnya,kemudahan-kemudahan yang di sediakan dalam telefon bimbit tersebut
seperti permainan, Sistem Khidmat Pesanan(SMS) dan sebagainya telah menjadikan
mereka menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut tanpa batasan. Oleh itu,
penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan jelas menghilangkan minat golongan
remaja untuk memberi tumpuan kepada pelajaran mereka.
Penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan juga akan
mendatangkan kesan negatif kepada remaja tersebut seperti berhadapan risiko
menerima maklumat palsu atau gambar yang mencolok mata. Hal ini berlaku
demikian kerana terdapat sebilangan individu yang gemar menangguk di air keruh
untuk kesenangan mereka sendiri. Justeru, remaja tersebut akan berasa seronok
tanpa menyedari pada hakikatnya mereka ditipu oleh individu yang tidak
bertanggungjawab. Tamsilnya, remaja tersebut akan berhabisan wang semata-mata ingin
menikmati tawaran-tawaran yang disediakan seperti gambar-gambar lucah yang
kerap menerjah dunia moden ini. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit tanpa
kawalan jelas memberikan kesan negatif kepada minda generasi muda hari ini.
Natijahnya,
jelaslah bahawa keghairahan muda-mudi masa ini menggunakan telefon bimbit
banyak mendatangkan impak negatif dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu,
pemantauan daripada pihak yang terlibat haruslah segera dilakukan sebelum
perkara ini menjadi barah dalam masyarakat Malaysia. Sekiranya semua pihak
bekerjasama dalam menangani isu ini, sudah pasti isu ini akan dapat ditangani
dengan mudah. Jelaslah isu penggunaan telefon bimbit tanpa kawalan terutamanya
dalam golongan remaja perlulah diselesaikan bersama-sama dan tidak hanya
menuding jari kepada sebelah pihak sahaja. Bak kata pepatah, berat sama di
pikul, ringan sama dijinjing.