Friday, August 3, 2012

FOKUS BM PMR:Peperiksaan Percubaan PMR 2012


KARANGAN MANTAP P.M.R. 1 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Masalah Sosial/Masalah Disiplin/Keruntuhan Akhlak

Soalan Contoh:
Masalah disiplin pelajar semakin meruncing. Masyarakat semakin kecewa dengan kegagalan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar.Jelaskan punca-punca berlakunya masalah ini.

Karangan Mantap 

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi    peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong     masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

         Masalah ini semakin meruncing ekoran
kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibu bapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibu bapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

        Sementara itu
kemunculan media massa juga mendorong masalah ini memuncak    dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonoh yang disaksikan oleh mereka telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah ditonton oleh mereka sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

    
Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibu bapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

     Tambahan pula,
kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut  menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan   dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

     Malah,
ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjerumus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang dihabiskan oleh mereka untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

       Intihanya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari  kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal sebagai cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 2 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Peranan Ibu Bapa

Soalan Contoh:
  “Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya”. Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas.

Karangan Mantap

            Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga. Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya mewarnai kehidupan berumah tangga kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Walau bagaimanapun, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini memainkan peranan yang penting dalam menjalankan tanggungjawab keibubapaan. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

            Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus anak muda yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa. Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan dijaga dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum melakukan perbuatan yang buruk yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa.

            Selain itu, ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anak. Pada kebiasaannya, ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ibu bapa sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki apabila masuk ke menara gading, anak-anak dapat menjaga ibu bapa dan menjamin masa depan mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka.

            Lain daripada itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan terdidik untuk mendisiplinkan diri kerana datang daripada keluarga yang baik dan yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.

            Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu. Saya yakin bahawa anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.

            Ilmu agama merupakan salah satu ajaran yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguh keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Dengan ini, masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak.

            Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 3 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Dasar 1 Murid 1 Sukan

Soalan Contoh:
Dasar 1 Murid 1 Sukan telah mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya 1 aktiviti sukan. Terangkan kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan.

Karangan Mantap

          Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah.

      Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas. Kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan atau obesiti semakin meningkat saban tahun. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas dan cerdas sepanjang masa.

     Selanjutnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1 Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

      Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’.

‘MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA’

KARANGAN MANTAP P.M.R. 4 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Rumah Terbuka Rakyat 1 Malaysia (Gagasan 1 Malaysia)

Soalan Contoh:
Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah mengunjungi rumah terbuka yang  dianjurkan oleh kerajaan Malaysia. Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

Karangan Mantap

Kebelakangan ini, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Konsep rumah terbuka ini memang perlu diteruskan dan dijadikan amalan kerana banyak kebaikannya. Dengan adanya rumah      terbuka, mudahlah seseorang itu untuk mengunjungi rumah saudara mara, jiran-jiran dan rakan-rakan kerana tarikh dan masanya sudah ditetapkan.

Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita seperti kata pepatah ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia  kerana muafakat’. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu ‘tak kenal maka tak cinta’.

Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama. Sebagai contohnya, orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan akan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Jadi, mereka akan dapat mempelajari budaya dan adat resam kaum lain dan berusaha untuk memahaminya. Perkara ini sudah tentu akan mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita.
     
Selain kebaikan, terdapat juga keburukannya kerana rumah terbuka akan menimbulkan masalah untuk menjaga kebersihan di tempat rumah terbuka itu diadakan. Hal ini disebabkan oleh sikap tetamu yang hadir yang tidak mementingkan aspek kebersihan. Mereka tidak menghiraukan aspek kebersihan dan membuang sisa makanan atau bungkusan makanan di merata-rata tempat. Perkara ini akan menimbulkan masalah apabila rumah terbuka itu berakhir dan menyusahkan pihak penganjur untuk membersihkannya.
     
Keburukan lain akibat penganjuran rumah terbuka adalah terdapat pihak yang mementingkan diri dan tidak menghiraukan orang lain. Perkara ini akan menimbulkan masalah dan kesulitan kepada orang lain yang turut hadir dalam majlis itu. Ada tetamu yang berebut-rebut  semasa mengambil makanan atau bersikap tamak dengan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya mereka menghabiskan makanan tersebut sudah tentu tidak menimbulkan masalah, tetapi perkara yang berlaku ialah mereka tidak menghabiskan makanan tersebut. Hal ini sudah tentu menyebabkan pembaziran berlaku sedangkan ada orang lain yang mungkin tidak mendapat makanan langsung.
     
Oleh hal yang demikian konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Konsep rumah terbuka sudah tentu banyak mendatangkan kebaikan jika difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan rumah terbuka akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk  menganjurkannya. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, rumah siap pahat berbunyi apabila   menganjurkan rumah terbuka. Jadi, semua anggota masyarakat haruslah memahami dan menghayati konsep rumah terbuka yang sebenarnya agar hasrat yang dicita-citakan akan dapat dicapai.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 5 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Permainan Tradisional

Soalan Contoh:
Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mempertahan permainan-permainan tradisional?

Karangan Mantap

Menurut Kamus Dewan, permainan tradisional merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat itu untuk satu tempoh yang tertentu seperti dalam kes masyarakat kita permainan gasing, wau dan dan menjadi permainan tradisional. Masyarakat kita masih lagi memainkan permainan ini tetapi semakin lama semakin dipinggirkan terutama oleh masyarakat muda di negara ini yang terlalu mengutamakan permainan moden. Peminggiran    permainan tradisional ini turut diketengahkan oleh media massa yang sering menyiarkan rungutan penggiat budaya yang menganggap masyarakat belia di negara ini sudah tidak lagi memandang tinggi permainan budaya sendiri. Oleh itu, pelbagai tindakan yang efektif perlu dilaksanakan untuk memastikan permainan ini terus wujud dalam minda masyarakat kita.

Langkah awal yang boleh dilakukan dalam menangani isu ini ialah kerajaan harus         menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang untuk memudahkan rakyat memainkan permainan ini. Kewujudan gelanggang ini memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati permainan ini. Kekerapan bermain permainan ini berupaya untuk mewujudkan satu kesedaran yang hakiki terhadap permainan budaya mereka ini. Oleh itu, pembinaan gelanggang yang cukup oleh pihak berwenang mampu memberi nafas baharu kepada kesinambungan permainan warisan budaya ini.

Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, pihak kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan turut menyediakan jurulatih yang terlatih di setiap gelanggang yang telah disediakan itu. Kewujudan jurulatih ini memastikan masyarakat menerima latihan yang tepat tentang sesuatu permainan itu dan berupaya mengajarkan ilmu itu kepada anak-anak mereka pula. Langkah ini memastikan berlakunya kesinambungan dalam memainkan permainan yang semakin dilupakan lantaran tiadanya tunjuk ajar yang tepat tentang permainan tersebut. Jelaslah, permainan warisan budaya ini akan terus dimainkan jika ada jurulatih yang bertauliah untuk mengajar masyarakat kita.

Selain itu, pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional ni sebagai salah satu bentuk aktiviti kokurikulum yang disertai oleh pelajar. Tindakan ini memastikan pelajar kita terdedah dengan jenis-jenis permainan tradisional sejak muda lagi dan memahami kepentingan mengekalkan permainan ini. Kesedaran yang dipupuk sejak awal ini mampu memberi impak yang mendalam dalam jiwa seseorang pelajar sehinggalah mereka memasuki alam dewasa. Jadi, pihak sekolah wajib menjadikan permainan ini sebagai satu aktiviti sekolah yang penting untuk disertai oleh pelajar.

Malah, permainan tradisional ini boleh dikekalkan jika pihak berkuasa mengadakan promosi yang berkesan tentangnya menerusi media massa. Penayangan iklan yang bersesuaian seperti menjelaskan aspek kepentingan permainan ini boleh menimbulkan kesedaran dalam diri  masyarakat. Pemahaman ini kemudiannya akan dijelmakan dalam bentuk masyarakat yang cuba mengekalkan dan memainkan permainan ini sekerap mungkin dalam hidup mereka. Sesungguhnya, promosi yang sesuai dan kena kepada sasaran memberi satu dimensi baharu pada permainan ini untuk terus hidup dan berkembang dalam masyarakat moden kita.

            Konklusinya, permainan tradisional boleh dikekalkan jika semua langkah-langkah yang    dijelaskan di atas itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Masalah yang timbul ialah pihak berkuasa tidak mempunyai keinginan politik yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek sebegini. Kelesuan minat pihak berkuasa dalam aspek ini bakal menyaksikan permainan        tradisional ini semakin dilupakan. Peribahasa ‘tepuk dada tanya selera' sesuai menjadi renungan kita semua kerana jika kita masih leka mungkin permainan ini akan terus terkubur.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 6 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Penjagaan Kesihatan / Gaya Hidup Sihat

Soalan Contoh:
Kesihatan sangat penting untuk menjamin kehidupan yang ceria.Huraikan langah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan kita.

Karangan Mantap

Kesihatan amat penting dalam menjamin keceriaan hidup setiap individu. Kesihatan merujuk satu keadaan tubuh badan yang tidak mengalami sebarang masalah seperti ada penyakit kencing manis dan mudah diserang penyakit berjangkit lain. ada pelbagai langkah yang boeh diamalkan oleh seseorang untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.

Aspek pemakanan amat penting dalam menjamin kesihatan yang baik. Seseorang harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupannya. Diet yang seimbang memastikan tubuh badan seseorang memilikii semua zat-zat yang diperlukan oleh seseorang itu. Jadi, pemakanan yang sebegini memberikan tahap kesihatan yang baik.

Selain tu, seeseorang harus mengamalkan aktiviti senaman yang tetap. Tindakan melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu menyebabkan tubuh badan seseorang berfungsi dengan baik kerana semua toksik telah dikeuarkan menerusi peluh. Rasa tekanan atau stres turut berupaya dihilangkan menerus senaman yang dilakuan itu. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan yang baik kita harus melakukan senaman yang konsisten.

Seseorang itu harus memiliki waktu tidur yang cukup terutama apabila umur mereka semakin meningkat. Tidur yang cukup ini memastikan badan seseorang menerima rehat yang secukupnya selepas penat bekerja terutama di pejabat. Keadaan ini turut memberikan seseorang itu tenaga untuk meneruskan aktivitinya pada esok hari. Maka, waktu tidur yang secukupnya memberi ruang kepada seseorang itu untuk terus memiliki kesihatan yang baik.

Malahan, pemeriksaan kesihatan yang dibuat sepanjang tahun boleh memberi satu perspektif yang baik tentang tahap kesihatan seseorang itu. Pemeriksaan yang kerap ini menyebabkan seseorang itu mengetahui keadaan kesihatan badan mereka dan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan mereka dalam keadaan yang seimbang. Sesungguhnya, pemeriksaan kesihatan yang kerap akan memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, kesihatan amat penting dalam kehidupan seseorang terutama mereka yang sudah berumur. Penjagaan kesihatan yang berkala ini menjamin kebahagiaan kehidupan seseorang. Walaupun seseorang itu berharta tetapi tida memiliki kesihatan yang baik, kehidupannya sudah pasti akan sengsara.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 7 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Masalah Obesiti (Kegemukan)

Soalan Contoh:
Kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini dikatakan semakin meningkat. Keadaan ini berkaitan dengan tahap kesihatan rakyat yang semakin diabaikan. Jadi, apakah cara-cara yang mampu dilakukan oleh kita sebagai rakyat biasa untuk menjaga kesihatan.  

Karangan Mantap

Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap     kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseoorang itu. Semakin baik     kesihatan seseorang itu semakin mudahlah mereka mengharungi kehidupan mereka. Malah, ada kajian yang mengaitkan kesihatan yang baik memastikan produktiviti seseorang itu meningkat. Ada banyak kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan seseorang itu bertambah baik.

Kesihatan ditentukan oleh pemakanan seseorang. Itulah antara kata-kata hikmah yang sering kita dengar mengenai penjagaan kesihatan. Pengambilan makanan atau diet yang seimbang memastikan badan menerima khasiat yang diperlukannya. Diet yang betul sepanjang kehidupan seseorang itu menyebabkan kesihatannya terjamin. Cuma, kita agak sukar untuk mengamalkan perkara yang baik ini untuk jangka masa panjang kerana tahap kesihatan itu sukar diperoleh dalam masa yang pantas dan agak berbeza mengikut pandangan seseorang.

Bukan sahaja diet penting tetapi penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Diri seseorang haruslah bersih dan kawasan tempat tinggal juga dipantau tahap kebersihannya. Malah, kawasan sekeliling turut diberi perhatian untuk      memastikan semuanya dalam keadaan bersih daripada penyakit berjangkit. Semua tindakan ini akan memastikan seseorang itu tidak diserang penyakit berjangkit seperti taun.

Selain itu, aktiviti luar harus dilakukan. Senaman ringan dua atau tiga kali seminggu sudah mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Imunisasi seseorang turut meningkat melalui aktiviti senaman ini. Peluh yang keluar membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu. Stres sering dikaitkan dengan kadar kematian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat moden terutama di negara ini.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Penjagaan kesihatan zaman ini juga dianggap menelan belanja yang banyak kerana kesihatan telah dijadikan sebagai satu kegiatan ekonomi. Seseorang itu perlulah bijak dalam menangani isu ini supaya tidak tertipu kerana tidak ada harta yang mampu membeli kesihatan yang baik. Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 8 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Keracunan Makanan

Soalan Contoh:
Kejadian keracunan makanan di sekolah sering berlaku sejak kebelakangan ini. Berikan pendapat anda tentang punca-punca keracunan makanan di sekolah.

Kebelakangan ini kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah sering menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar tempatan.Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin kerap berlaku? Apakah tiada tindakan yang diambil untuk menanganinya dari terus berlaku? Semua persoalan ini tentunya sentiasa bermain-main di fikiran kita.Apakah punca yang menyebabkan kejadian ini terus berlaku?

Antara punca utama keracunan makanan di sekolah adalah disebabkan sikap pengusaha kantin yang mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Kebanyakan daripada mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan kurang mengambil berat tentang kualiti makanan yang dijual. Sehubungan dengan ini, mereka tidak akan mempedulikan sama ada makanan tersebut boleh dijual atau tidak kepada para pelajar. Sebagai contoh mereka tidak mencuci dengan sempurna bahan mentah yang digunakan sebelum memasak sesuatu hidangan. Perbuatan mereka ini boleh diibaratkan umpama anjing makan muntahnya.Sikap ini jika dibiarkan berterusan pastinya akan membawa kepada keracunan makanan.

Selain itu, terdapat pengusaha yang tidak menjaga persekitaran kawasan kantin. Kawasan di sekeliling kantin dan dapur dibiarkan kotor tanpa penjagaan yang sewajarnya. Dengan ini, kawasan tersebut akan dicemari dengan pelbagai jenis haiwan dan serangga yang membawa pelbagai jenis kuman. Sebagai contoh, serangga seperti lipas, semut, cicak, tikus dan sebagainya akan berkeliaran dan kadangkala masuk ke dalam makanan. Sewajarnya sikap ini dijauhi bagi mengelakkan makanan daripada tercemar.

Di samping itu, sikap para pelajar yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan diri juga merupakan punca berlakunya keracunan makanan di sekolah. Kebanyakan pelajar memandang remeh kepada soal kebersihan diri dan kualiti sesuatu makanan.Sehubungan dengan itu, mereka akan mengabaikan aspek kebersihan dan membeli makanan yang sudah tercemar. Sebagai contoh, mereka tidak mencuci tangan dengan sabun sewaktu hendak menjamah sesuatu makanan. Selagi pelajar tidak mengambil berat soal kebersihan diri, pastinya masalah ini akan terus berlarutan.

Konklusinya, pelbagai punca telah dikenalpasti menyebabkan berlakunya keracunan makanan di sekolah. Masalah ini boleh diatasi dengan menamatkan kontrak pengusaha yang terlibat dengan masalah ini. Dengan ini, akan dapat memberi pengajaran kepada pengusaha kantin yang lain supaya sentiasa peka dalam soal kebersihan di kantin sekolah.Jelaslah bahawa masalah ini akan dapat diatasi sekiranya punca-punca kepada permasalahan ini dapat ditangani secara bersepadu.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 9 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Semangat Kebangsaan

Soalan Contoh:
Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita. Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.   

Karangan Mantap

Semangat kebangsaan merujuk kepada sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu   dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek Sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran Sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang Sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek Sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.

Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika Hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh   pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan         memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi.    Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baharu kepada remaja untuk mencintai negara mereka.

Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 10 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Pencemaran Alam Global

Soalan Contoh:
Pencemaran alam telah menjadi satu isu global yang diputuskan oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu. Impak ini memberi kesan yang ketara kepada manusia terutama di Malaysia.Nyatakan kesan-kesan negatif yang timbul daripada kemelut ini dan langkah mengatasinya.

Karangan Mantap

Pencemaran alam memang telah menjadi satu ancaman utama dalam pembangunan manusia sejagat. Tindakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengakui berlakunya perubahan cuaca dunia akibat pencemaran yang dilakukan oleh manusia telah membuktikan masalah ini semakin kronik. Pencemaran alam memang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri sehingga menyebabkan banyak impak negatif yang timbul. Agaknya manusia tidak serik melihat kemusnahan yang mereka lakukan selama ini?

Bencana alam semakin menjadi-jadi terutama di Kuala Lumpur. Kawasan tanah runtuh di Ampang dan Puchong suatu ketika dahulu begitu menakutkan masyarakat di sini. Banjir kilat yang pasti berlaku sebaik sahaja hujan turun menyebabkan masyarakat berjaga-jaga setiap kali musim hujan menjelang. Keadaan ini menyebabkan kehidupan masyarakat dalam risiko dan menimbulkan rasa takut dalam perasaan mereka. Sekali hujan, sekali banjir, sekali Kuala Lumpur berubah.

Tambahan pula, kejadian tanah runtuh dan banjir serta jerebu membawa keadaan kesihatan masyarakat yang kurang baik.Kejadian demam, batuk dan wabak penyakit yang merebak menyebabkan kos rawatan perubatan masyarakat kita terus meningkat. Keadaan ini sudah pasti membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa memikirkan keseinambungan hidup selain mendapatkan rawatan penyakit mereka. Jadi,pencemaran alam memang memberi impak yang ketara dalam kehidupan kita.

Lantaran itu, masyarakat kita terutama generasi muda yang dilahirkan ialah generasi yang sudah terdedah dengan pencemaran alam. Generasi muda kita ialah generasi yang sudah ‘sakit’. Jadi, tidaklah kita terkejut apabila kita sering mendapat khabar tentang golongan belia yang tidak mampu untuk mengharungi cabaran alam yang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Generasi muda mudah berasa penat dan tidak mampu menyelesaikan masalah fizikal yang mereka tempuhi. Mungkin juga generasi muda kita kekurangan kemahiran mendengar atau mempunyai penyakit lelah sejak kecil.

Imej negara sudah pasti akan terjejas terutama pada mata masyarakat antarabangsa. Pada mereka sikap masyarakat negara ini yang tidak peka yang menyebabkan alam kita tercemar begitu teruk. Kita dipandang sebagai masyarakat materialistik kerana terlalu ghairah memusnahkan alam semata-mata untuk mengaut keuntungan kebendaan. Kehadiran pelancong turut berkurangan bukan sahaja imej negara tetapi kurangnya kawasan untuk dilawati akibat pencemaran alam ini.

Mungkin langkah yang terpenting dalam menangani isu ini ialah kerajaan menguatkuasakan akta yang lebih tegas dan berat hukumannya. Kerajaan hendaklah berani mengambil tindakan bersama-sama menghukum pesalah pencemaran alam ini tanpa rasa segan silu. Kerajaan perlulah mempamerkan sikap yang telus dalam memastikan alam kita terus terbela. Kerajaan merupakan benteng pertama negara dalam menentang pencemaran alam.

Kesimpulannya, semua pihak harus menjadikan alam sebagai fokus perjuangan mereka. Alam bukanlah hak kita tetapi alam warisan yang kita tinggalkan untuk generasi akan datang. Jadi, alam bukan satu anugerah tetapi satu tanggung jawab yang memerlukan pengorbanan masyarakat untuk memastikan alam terus menerus diwarisi oleh manusia sejagat. Mungkin kali ini kita akan berjaya menangani kemelut yang semakin mencengkam ini.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 11 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Kesan Penggunaan Internet / Aplikasi Jaringan Sosial

Soalan Contoh:
Perkembangan Sains dan Teknologi menyebabkan ramai dalam kalangan kita mencari maklumat melalui internet. Jelaskan kelebihan yang diperoleh apabila kita menggunakan internet. 

Karangan Mantap

Mayapada, manusia tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai kemudahan teknologi komunikasi yang canggih dalam kehidupan seharian mereka. Kemudahan internet merupakan salah satu ciptaan manusia yang telah menjadi suatu kemestian dalam urusan kehidupan kini. Internet telah digunakan oleh jutaan manusia tanpa mengira faktor jantina dan juga usia. Pelbagai faedah yang dapat diperoleh sekiranya kita tahu menggunakan aplikasi ini dengan sebaik-baiknya.

Antara faedah apabila kita menggunakan internet ialah kita mudah mendapat informasi melalui laman-laman sesawang yang disediakan oleh pelbagai pihak. Sebelum adanya internet kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mencari sesuatu maklumat yang hanya terdapat dalam buku-buku atau media cetak yang lain. Oleh itu, kita boleh mendapatkan sebarang maklumat dengan cepat tanpa perlu menghabiskan terlalu banyak masa untuk mencarinya. Sebagai contoh, kita boleh mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perkara dengan hanya menaip kata kunci di bahagian kotak pencarian dan maklumat tersebut siap untuk digunakan. Sememangnya, internet memudahkan kita mendapat maklumat yang diperlukan menggunakan hanya hujung jari kita.

Selain itu, internet juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain sama ada melalui e-mel ataupun ruang sembang. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada surat yang mengambil masa yang agak lama untuk sampai kepada penerimanya ataupun telefon untuk berhubung dengan orang yang jauh daripada kita. Dengan internet, kita dapat berutus surat secara elektronik dan bersembang dalam alam maya dengan suasana yang lebih kondusif dan pantas. Misalnya, terdapat pelbagai penyedia platform untuk kita mengutus surat dan bersembang seperti “Yahoo Messenger” dan “Gmail”. Internet sememangnya telah sedikit sebanyak telah mendominasi penghantaran surat pada hari ini.

Seterusnya,internet juga memudahkan kita untuk mendapatkan hiburan, sama ada lagu ataupun filem dari dalam dan luar negara. Sebelum ini kita hanya bergantung kepada media elektronik seperti televisyen dan radio untuk mendapatkan hiburan. Dengan ini, kita boleh mendengar dan menonton secara ‘online’ sesuatu program hiburan yang kita inginkan. Tamsilnya, terdapat pelbagai perisian seperti ‘Ares’ yang membolehkan kita memuat turun sesuatu bahan hiburan dengan hanya menaip di ruangan pencarian yang disediakan. Hal ini jelas menunjukkan betapa internet telah memudahkan kita semua untuk mendapatkan pelbagai bentuk jenis hiburan dalam sekelip mata sahaja.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa terdapat banyak faedah yang kita peroleh sekiranya menggunakan kemudahan ini. Dengan demikian, kita hendaklah menguasai teknologi ini dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita menguasai teknologi ini, sudah tentu kita tidak akan ketinggalan dalam menguasai ilmu yang semakin berkembang pesat ini. Jelaslah bahawa internet telah membantu kita dalam banyak aspek kehidupan kita pada masa ini.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 12 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Mutu Pengangkutan Awam

Soalan Contoh:
Sistem pengangkutan awam negara terus menerima kritikan demi kritikan. Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.

Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak dan sudah lama serta masih gagal diselesaikan. Situasi ini berlaku kerana kurangnya kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal dalam menanganinya. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan pula terus berdiam diri dan hanya bertindak apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dalam kemelut ini.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 13 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Penyakit Berjangkit

Soalan Contoh:
Dunia sekarang dilanda dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit. Bincangkan cara-cara untuk menghalangnya daripada terus merebak dalam kalangan masyrakat di negara kita ini.

Baru-baru ini, sarwajagat telah digemparkan dengan krisis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut. Malah, penyakit berjangkit boleh merebak melalui sistem pernafasan seperti air liur, bersin dan lain-lain.Sebagai contoh, antara penyakit berjangkit yang ditakuti ialah H1N1, SARS,JE dan sebagainya.Justeru, pelbagai alternatif perlu diambil bagi mencegah penyakit berjangkit ini daripada terus merebak dalam kalangan rakyat di negara ini.

Antara langkah bagi menangani penyakit berjangkit ini daripada bertambah kronik adalah dengan memastikan kebersihan diri kita sentiasa terjaga. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah wabak penyakit dapat berjangkit secara tidak langsung iaitu melalui sentuhan, memegang atau menggunakan sebarang peralatan yang pernah digunakan oleh individu yang telah dijangkiti penyakit tersebut. Dengan ini, kita akan terhindar daripada dijangkiti oleh penyakit berbahaya tersebut.Sebagai contoh, kita perlulah menggunakan sabun semasa membasuh tangan kita sebelum makan.Oleh yang demikian, langkah ini perlu diamalkan oleh semua orang bagi menghindari serta melindungi diri mereka daripada dijangkiti sebarang penyakit berjangkit.

Selain itu, kita juga perlu mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam sekiranya tiada urusan penting. Hal ini berlaku demikian kerana sesetengah penyakit berjangkit seperti H1N1(Selesema Babi) boleh merebak melalui pernafasan. Sehubungan dengan itu, risiko untuk seseorang itu dijangkiti wabak berjangkit adalah minimum. Sebagai contoh, tempat-tempat yang perlu dielakkan ialah pusat membeli belah, taman-taman permainan dan sebagainya. Justeru, menjauhi tempat-tempat awam merupakan pilihan yang tepat bagi mengelakkan penyakit berjangkit daripada mengancam nyawa kita.

Seterusnya, kerajaan juga boleh menangani musibah ini dengan menyekat kemasukan para wisatawan yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit. Hal ini kerana para wisatawan dari negara luar yang datang ke negara ini boleh menjadi faktor utama yang menyebarkan virus penyakit berjangkit ini. Justeru, penyebaran penyakit ini akan dapat serba sedikit dikurangkan. Tamsilnya, pihak berkuasa yang menjaga pintu masuk lapangan terbang kita hendaklah mengetatkan lagi pemeriksaan kesihatan ke atas para wisatawan ini. Intihanya, kerjasama daripada mereka dapat membantu mengurangkan penyakit ini daripada terus menular ke negara kita.

Konklusinya, dapatlah dirumuskan bahawa pelbagai langkah perlu diambil oleh semua lapisan masyarakat bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini. Selain itu,kita hendaklah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Gaya hidup yang sihat akan melahirkan tubuh yang sihat yang mampu melawan penyakit berjangkit.Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada merawat dan janganlah kita menyesal apabila kita telah disahkan menghidapi penyakit berjangkit disebabkan kecuaian kita kerana ‘Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya’.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 14 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Amalan Berjimat-cermat

Soalan Contoh:
Kebanyakan masyarakat Malaysia bersikap boros ketika berbelanja. Sikap harus ditangani dan amalan berjimat-cermat perlu dipupuk. Huraikan langkah-langkah menanamkan amalan berjimat-cermat dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini.

Karangan Mantap

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanamkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.
     
Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.

Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

KARANGAN MANTAP P.M.R. 15 - FOKUS PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2012
Tutor B.M. Anda : CIKGU G.N.RAJAN

Isu P.M.R. - Bangunan Bersejarah

Soalan Contoh:
Malaysia kaya dengan bangunan dan monumen bersejarah. Kerajaan telah mengambil langkah bijak dengan menjadikan binaan lama tersebut sebagai salah satu daripada Warisan Kebangsaan. Bincangkan kepentingan memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah di negara kita.

Karangan Mantap

Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.

Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.

Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.

Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.

      Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.



1 comment:

  1. sir i want tiz karangan (bhg.b) KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN........THaNK U SIR!!!

    ReplyDelete